Ibu pejabat Sibu_FM

Kompleks Bangunan Penyiaran RTM terletak di persimpangan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Tapang dan Jalan Sungai Merah, berhadapan dengan pasar Tapang. Di hadapan kompleks itu terletak Bulatan RTM, iaitu nama rasmi sebuah bulatan yang menjadi tempat pertemuan tiga jalan raya utama tadi. Itulah satu-satunya sebuah bulatan di Malaysia yang diberi nama Bulatan RTM.

Bangunan ini dirasmikan pada 7 Disember 1974 oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Osman, Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua, yang berasal dari Sibu.

Di bangunan ini ditempatkan kebanyakan kakitangan yang terdiri daripada Bahagian Pentadbiran, Bahagian Kejuruteraan dan Bahagian Rancangan.

Jabatan Penyiaran Sibu mempunyai tiga bilik hubungan atau konti yang dulunya digunakan untuk siaran tiga bahasa (Melayu, Iban dan Cina) secara berasingan. Namun sekarang sejak pelancaran Radio 7 (Sibu RM87.6 MHz), maka semua siaran dibuat di bilik Hubungan FM87.6MHz. Dua bilik lain digunakan untuk rakaman rancangan.Bilik Hubungan FM87.6MHz, dilengkapi sistem digital Netia, yang digunakan oleh kebanyakan stesen kawasan di seluruh negara.